KPDNHEP berusaha tambah bekalan topeng muka

KUCHING, 12 Mac: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama syarikat pengeluar topeng muka sedang berusaha untuk mengeluarkan lebih banyak topeng muka bagi memenuhi permintaannya pasaran negara ini.

Timbalan Pengarah (Operasi) Bahagian Penguatkuasaan KPDNHEP Putra Jaya, Low Swee Hon berkata ini kerana pihaknya dimaklumkan yang permintaan bekalan topeng muka ketika ini telah meningkat sehingga empat kali ganda di pasaran negara ini akibat dari wabak Covid-19.

"Tindakan sedang diambil kementerian bersama-sama dengan pengeluar-pengeluar (topeng muka) yang sudah dikenalpasti supaya meningkatkan pengeluaran (topeng muka) supaya pengguna mendapat bekalannya,"katanya pada sidang media di Ibupejabat KPDNHEP Sarawak, Jalan Tun Jugah di sini, hari ini.


Low berkata peningkatan pengeluaran bekalan topeng muka terbabit juga bagi mengelakkan pihak tertentu mengambil kesempatan menaikkan harga topeng muka melebihi harga kawalannya yang sudah ditetapkan kerajaan.

"Kami faham dan di pihak kementerian pun banyak menerima aduan berhubung dengan ketidakpatuhan kepada kawalan harga yang telah ditetapkan untuk beberapa jenis topeng muka, antaranya yang paling popular ialah topeng muka jenis tiga lapis,"katanya.

Beliau berkata topeng jenis tiga lapis terbabit ditetapkan harga kawalan maksimum pada 80 sen seunit oleh kerajaan dan pihaknya akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap pihak menjual topeng terbabit melebihi harga itu di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

"Kami juga boleh mengambil tindakan kerana (peniaga) mencatut atau mengambil keuntungan tinggi tanpa sebab manusabah. Kita akan tengok kenaikan harga yang telah berlaku itu," katanya.

Low berkata setakat ini di Sarawak, pihaknya sudah mengeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada seorang peniaga kerana menjual topeng muka tiga lapis melebihi harga kawalannya sebanyak 80 sen seunit pada Febuari lepas.
tamat


keterangan gambar:

1.Low Swee Hon (tengah) bersama pegawai KPDNHEP Sarawak mengadakan sidang media di Ibupejabat KPDNHEP Sarawak, Jalan Tun Jugah di sini, hari ini.
LihatTutupKomentar
Cancel