Lima ditahan sedang leka bungkus dadah
KEPALA BATAS, 7 Mac -- Tiga lelaki dan dua wanita yang sedang leka membungkus pelbagai jenis dadah ditahan bersama-sama 550.5 gram bahan terlarang itu bernilai lebih RM22,500 dalam serbuan di sebuah rumah di Jalan Permatang Binjai, Penaga di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata kesemua mereka berusia 24 hingga 50 tahun, ditahan pada 12.30 tengah malam hasil risikan polis sejak seminggu lepas yang mendapati mereka hidup mewah walaupun tidak bekerja.
"Dalam serbuan itu, polis merampas 430 gram heroin, syabu (6.5 gram) dan ganja 6 (gram) kesemuanya bernilai RM22,595," katanya di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, siasatan mendapati kesemua mereka menjalankan kegiatan itu sejak tahun lepas untuk pasaran sekitar Kepala Batas dan Tasek Gelugor, dan mengaut keuntungan puluhan ribu ringgit sebulan.
"Ujian air kencing mendapati kelima-lima orang positif dadah dan mereka kini direman tujuh hari untuk siasatan. Kes disiasat menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan ," katanya.
-- Bernama