Lima kes terbaru Covid-19 di Brunei

BRUNEI: Negara Brunei dilanda Covid-19 apabila lima kes dilaporkan, selepas sehari kes pertama disahkan pada Isnin lalu.

Lima suspek merupakan kenalan rapat pesakit pertama yang didapati positif jangkitan virus Covid-19 dan kini diasingkan untuk rawatan di Pusat Kuarantin Negara di daerah Tudong.

Seorang lelaki berusia 61 tahun dan anak lelaki berusia 30 tahun antara lima suspek terbabit.

Kedua-duanya telah melakukan perjalanan dengan lelaki berusia 53 tahun yang disahkan positif Covid-19.

Tiga yang lain termasuk isteri berusia 46 tahun dan dua anak lelaki mereka yang masing-masing berumur 12 dan lima tahun.

Kedua-dua kanak-kanak tersebut dipantau dan tidak hadir diri ke sekolah dalam beberapa minggu yang lalu.

Lima pesakit dilaporkan menunjukkan tanda-tanda batuk dan selesema.

Mereka berada dalam keadaan stabil, tanpa tanda-tanda demam dan tidak memerlukan sokongan pernafasan.

Semua sampel dari kes-kes ini telah dihantar ke Makmal Rujukan Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) di Singapura untuk ujian lanjut.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan Brunei dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun disahkan positif penyakit koronavirus itu selepas dia pulang dari Kuala Lumpur bersama dengan tiga rakan.

Difahamkan, lelaki berkenaan telah menghadiri satu perhimpunan agama di Masjid Jamek Sri Petaling yang dihadiri lebih 100 orang dari Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Selain itu, dia bersama tiga rakannya dilaporkan pulang ke Brunei melalui Miri, Sarawak pada 3 Mac lalu.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan Brunei menasihatkan rakyatnya agar menangguhkan perjalanan ke mana-mana negara yang terjejas bagi mengetatkan lagi kawalan kemasukan penyakit ke negara tersebut.

Menteri Kesihatan Dato Seri Setia Dr Mohammad Isham Jaafar, dalam satu sidang akhbar yang diadakan pada
Isnin berkata, "Lelaki tempatan berusia 53 tahun 
itu adalah pesara yang pergi ke Kuala Lumpur bersama tiga sahabat pada 27 Februari untuk menghadiri majlis agama di Masjid Jamek Sri 

Petaling yang juga dihadiri kira-kira 100 orang dari Thailand, Malaysia dan Indonesia.

Dia kemudian terbang dari Kuala Lumpur ke Miri melalui Air Asia AK5651, dan kembali ke Negara Brunei Darussalam pada 3 Mac.

Lelaki tersebut kemudian pergi ke Miri, dan berhenti di Masjid Kampong Sungai Teraban untuk solat Jumaat.

"Pada malam itu, dia menunjukkan tanda-tanda jangkitan dan dibawa ke Jabatan Kecemasan Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS) pada 8 Mac untuk menjalani rawatan."

Lelaki itu juga mengalami beberapa penyakit kronik seperti diabetes dan penyakit kardiovaskular. Beliau telah ditempatkan di Pusat Pengasingan Nasional di Tutong sejak 9 Mac, selepas ujian makmal awal positif.

Memandangkan penemuan ini, menteri menggalakkan mereka di kawasan Kampong Sungai Teraban untuk menghubungi KKM, sekiranya mereka berasa tidak sihat.

"Kementerian kita akan terus menjalankan pengesanan hubungan, dan tindakan selanjutnya akan diambil mengikut panduan yang ada berdasarkan bukti saintifik.

"Hubungan rapat ditakrifkan sebagai mereka yang tinggal di rumah yang sama dengan kes yang disahkan, atau berdekatan dengan kurang daripada satu meter selama 30 minit atau di dalam kawasan tertutup. Oleh itu, risiko jangkitan dari hubungan sementara atau seperti ringkas pertemuan pengangkutan awam dinilai berisiko rendah," katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel