Siapa keluar malam ditangkap
KUCHING: Pihak polis akan menangkap individu yang masih ingkar bermula hari ini kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail (gambar) berkata, pihak polis telah memberi banyak ruang dan budi bicara sebelum ini dan sentiasa menasihati orang awam mengenai Perintah Kawalan Pergerakan.
"Tiada kompromi dengan mana-mana pihak sekiranya orang awam masih berdegil dan ingkar. Mereka yang ditangkap akan didakwa" tegasnya dalam satu kenyataan.
Datuk Amar Douglas Uggah Embas selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata semalam telah mengeluarkan arahan kepada pihak berkuasa menangkap orang awam yang masih berkeliaran dan berada di luar tanpa permit kebenaran atau tanpa kelulusan selepas jam 7 malam.
Dibawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) tindakan susulan akan diambil jika orang awam berdegil dan ingkar melanggar perintah tersebut.
Mana-mana individu yang ditangkap akan didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda RM10,000 atau kedua-dua sekali.
