Anang 'pulai ke menua' Gawai-Mawan

KUCHING:Masyarakat Dayak diingatkan agar sentiasa mematuhi segala Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah dikeluarkan kerajaan persekutuan mahupun kerajaan Sarawak sepanjang sambutan Hari Gawai Dayak 1 Jun ini.

Presiden Persatuan Kebangsaan Dayak Sarawak (SDNU), Tan Sri William Mawan Ikom berkata,usah ‘pulai ke menua’ atau balik ke kampung masing-masing bagi mengurangkan risiko menularkan wabak COVID-19.

"Harus diingati perjalanan 'rentas daerah' hanya dibenarkan kepada kes berkaitan dengan perubatan atau kematian dengan surat kebenaran dari pihak polis.

"Kita juga merasakan kengkangan dan kepayahan yang dilalui oleh seluruh masyarakat Dayak di Sarawak dalam persiapan menyambut perayaan Gawai Dayak tahun ini dimana kita terpaksa menempuhinya dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) wabak COVID-19,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun begitu, katanya, masyarakat harus faham segala tindakan serta langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak serta agensi-agensi lain yang berkaitan adalah untuk kebaikan dan keselamatan kita semua dalam usaha memutuskan rantaian Wabak COVID-19 ini.
"Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum perlu lebih pro-aktif mengambil tanggungjawab untuk melindungi, memelihara dan memperkasakan komuniti di bawah jagaan mereka daripada jangkitan COVID-19.  

"Para KMKK perlu memastikan SOP yang dikeluarkan oleh JPBN Sarawak dipatuhi sepanjang masa di rumah panjang masing-masing atau kampung bagi mereka yang tinggal dirumah yang berasingan dalam sebuah kampung,"ujarnya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakan itu berkata,tradisi upacara Gawai kaum ethnik masing-masing hendaklah dikekalkan, namun hentikan cara menyambut perayaan seperti biasa sebagai contoh berkongsi gelas sewaktu sesi minum yang selama ini telah menjadi tradisi dan amalan penduduk rumah panjang.  

"Amalan norma baharu ini perlu untuk mengurangkan risiko penularan semula jangkitan COVID-19.

"Kita nasihatkan agar mengekalkan 'penjarakan sosial', sentiasa menggunakan pelitup muka apabila melawat keluarga terdekat sahaja dan tidak melebihi lebih 20 orang pada bilik atau rumah tersebut pada 1 Jun kelak,"jelasnya.

Menurutnya lagi,amalkan menjaga kebersihan diri seperti sentiasa membasuh tangan anda serta mengguna sanitizer tangan.

"Saya memohon kesabaran daripada semua kaum Dayak dengan usaha dan inisatif kerajaan Sarawak dalam memberi Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) dan segala langkah-langkah keselamatan dan kesihatan yang telah diambil oleh JPBN Sarawak kerana ianya adalah untuk kebaikan kita bersama,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel