GPS ulang pendirian sokong Muhyiddin
KUCHING: Gabungan Parti Sarawak (GPS) lagi mengulangi sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri demi kepentingan Kerajaan Persekutuan yang stabil.
Setiausaha Agung GPS, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, pemahaman mengenai hal ini juga disokong sebagai kerangka pemerintahan yang berfungsi.
Menurutnya, GPS adalah rakan kongsi dalam Kerajaan Persekutuan (yang kini dipimpin oleh Perikatan Nasional-PN).
“GPS akan terus melindungi dan memperjuangkan hak Sarawak mengikut Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara-Kerajaan (IGC),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Alexander mengeluarkan kenyataan selepas Mesyuarat Majlis Kepimpinan Tertinggi GPS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.