Rugi RM11,450 ditipu pegawai LHDN palsu
SIBU: Sindiket macau scam tidak terus terhenti meskipun dunia berdepan dengan penularan wabak COVID-19.
Terbaru, wanita mengalami kerugian RM11,450 selepas ditipu pegawai wanita dari Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Mangsa berusia 28 tahun itu dihubungi wanita dikenali sebagai 'Haslinah Hashim' yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN memaklumkan mangsa mempunyai tunggakkan cukai sebuah syarikat di Kuantan, Pahang berjumlah 138,600.90.
Apabila mangsa menafikan, suspek telah menyatakan bahawa kemungkinan namanya telah disalahgunakan.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa kemudian diminta untuk menghubungi Ibupejabat Polis Kontijen (IPK) Pahang melalui nombor telefon yang telah diberi oleh suspek.
"Panggilan mangsa dijawab oleh seorang 'Sarjan Idi' di mana dia membuat laporan mengenai kad pengenalannya telah digunakan oleh seseorang untuk membuka sebuah syarikat di Semenanjung Malaysia.
"Mangsa kemudian diminta untuk menghubungi Bank Negara Malaysia (BNM) kononnya untuk menggelakkan namanya diisytihar bankrup.
"Apabila pengadu bercakap dengan seorang pegawai BNM yang yang dikenali sebagai 'Justine Filip Samad' yang mengesahkan namanya telah terlibat dalam tunggakan cukai tersebut," katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Beliau berkata, mangsa kemudian diminta untuk menyerahkan nama pengguna dan kata laluan akaun bank miliknya untuk tujuan melindungi dan membersihkan namanya.
Pada hari yang sama, pengadu telah mendedahkan nama pengguna dan kata laluan termasuk dua nombor TAC (Kod Kebenaran Transaksi) kepada Justine bagi tujuan semakan lanjut.
"Mangsa telah menerima mesej dari sebuah bank menyatakan terdapat dua transaksi pengeluaran wang dari akaun bank pengadu pada jam 1.52 petang dan jam 1.54 petang yang dipindahkan ke akaun lain sebanyak RM11,450.
"Pengadu yang terasa curiga, cuba menghubungi 'Sarjan Idi' namun panggilan itu tidak dijawab," katanya.