Waterfront Kampung Boyan Kubu Margherita bertambah kacak
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata demikian dengan projek itu membabitkan pembinaan kawasan air terjun, sebuah bangunan Tradisional English Tea House dan laluan pejalan kaki dari Kampung Boyan sehingga ke Jambatan Darul Hana serta kerja naik taraf Pangkalan Sapi.
"Selepas siap, kawasan (sekitar Kubu Margherita) ini akan terbuka kepada orang ramai dan pengunjung, tetapi seperti di mana-mana tempat beriadah, kita berharap rakyat Kuching dan pengunjung akan berbangga (melawatnya) dan tiada perbuatan vandalisma,"katanya ketika mengadakan lawatan ke tapak projek terbabit di seberang Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
Abdul Karim berkata projek terbabit yang bermula pada 2017 adalah penting kerana kawasan sekitar kubu itu hanya gelap gelita pada waktu malam walapupun bersebelahan Air Pancut Berirama Darul Hana dan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
Katanya antara bakal menjadi tarikan utama kawasan kubu itu nanti adalah sebuah bangunan tradisi English Tea House yang boleh menerima seramai 200 tetamu bagi membolehkan orang ramai menikmati minum petang ala Inggeris dan diilhamkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
"Penyiapan projek ini hanya tergendala sedikit, selain Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) lepas,ia juga tergendala kerana tapak projek terletak di tebingan sungai berbukit curam, dalam sukar menjalankan kerja penghantaran bahan pembinaan ke tapak,"katanya.
Abdul Karim berkata selain itu beliau percaya lebih mencabar bagi kontraktornya menjalankan kerja projek di kawasan berbukit curam itu sekiranya hari hujan berbanding kawasan rata ditambah pembinaan bangunan English Tea House yang dicadangkan terletak atas permukaan air sungai.
1. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tiga dari kanan) melawat sekitar Kubu Margherita ketika ke tapak projek Pengindahan Tebingan Sungai Dari Kampung Boyan Ke Kawasan Kubu Margherita di seberang Tebingan Kuching, di sini, hari ini.
2. Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (dua dari kanan) melawat air terjun yang menjadi sebahagian projek Pengindahan Tebingan Sungai Dari Kampung Boyan Ke Kawasan Kubu Margherita di seberang Tebingan Kuching, di sini, hari ini.