Hampir 1,500 pelajar IPT Zon Sarawak telah dihantar pulang


KOTA SAMARAHAN: Setakat ini jumlah pelajar yang telah dihantar pulang menerusi program penghantaran pulang pelajar IPT Zon Sarawak yang dikoordinasi oleh Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) adalah seramai 1495 orang.

Pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak melibatkan pelajar-pelajar dari IPTA dan IPTS yang terdapat di Sarawak dan terkandas di kolej-kolej di IPT masing-masing semenjak Perintah Kawalan Pergerakan diumumkan pada pertengahan bulan Mac lepas.
Proses penghantaran pulang pelajar IPT ini dibuat secara berperingkat sejak 30 April lepas dan memerlukan penyelarasan yang padu kerana melibatkan semua pelajar seluruh Sarawak. 

Bagi UNIMAS sendiri, jumlah pelajar lokal yang menetap sejak PKP dilaksanakan adalah lebih kurang 3,800 pelajar yang menetap di kampus dan luar kampus. 
Bagi pelajar-pelajar di luar kampus yakni mereka (pelajar) yang menyewa rumah-rumah sekitar luar UNIMAS, kebajikan mereka juga tidak akan diabaikan, namun begitu, UNIMAS akan melakukan perancangan rapi dari masa ke semasa dengan mematuhi penetapan Prosedur Operasi Standard (SOP) terutama apabila ia melibatkan pelajar yang berada di zon merah.

Dalam pada itu, kelmarin sahaja, seramai 722 pelajar IPT Zon Sarawak telah dihantar pulang melibatkan tiga penerbangan Malaysia Airlines dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala-Lumpur (KLIA).

Pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak yang dihantar pulang kelmarin melibatkan pelajar dari UNIMAS, UiTMCS, Politeknik Kuching, Politeknik Betong, UCSI dan Swinburne.

Pelajar-pelajar IPT Zon Sarawak juga akan menjalani saringan pemeriksaan kesihatan terlebih dahulu sebelum dibenarkan menyertai program penghantaran pulang berkenaan.
LihatTutupKomentar
Cancel