Mahkamah Tinggi tolak permohonan Petronas tangguh bayar Cukai SST
KUCHING: Sarawak menghampiri kemenangan besar berikutan keputusan Mahkamah Tinggi semalam menolak permohonan Petroliam Nasional Berhad (Petronas) untuk menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan Negeri (SST) yang dikenakan oleh kerajaan Sarawak.
Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Negeri- Persekutuan dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Aman Ghazali, berkata, keputusan yang oleh Mahkamah Tinggi itu adalah penting bagi Sarawak.
"Dengan kata lain, kita telah menang dalam kes menentang Petronas ini. Saya berharap Sarawak akan terus bergerak maju ke hadapan dengan keputusan tersebut,” katanya menerusi satu status di Facebook miliknya.
Menurut Sharifah Hasidah, buat kali pertamanya juga, segala perbahasan, hujahan kes serta keputusan dibuat secara 'on line'.
"Ini juga merupakan satu kemajuan bagi kita dalam frateniti undang-undang," tambahnya lagi.
Semalam, Hakim Azhahari Kamal Ramli Mahkamah Tinggi di Kuching telah memutuskan bahawa Dewan Undangan Negeri dan Kerajaan Sarawak berhak menggubal Ordinan Cukai Jualan Negeri berdasarkan Perlembagaan Malaysia dan Perjanjian Malaysia 1963 dan Inter-Governmental Committee (IGC) Report.
Pada 13 Mac lepas, permohonan semakan penghakiman daripada Petronas berkaitan pembayaran SST berjumlah RM1.3 bilion telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi di Kuching.
Petronas dalam hujah berkata, bayaran SST itu akan memberi impak bukan hanya ke atas Petronas malah kemampuanya untuk membayar dividen kepada kerajaan persekutuan.
Katanya, keadaan juga tidak sesuai berikutan penurunan permintaan harga minyak dunia dan pandemik COVID-19.
Hakim Azhahari memberitahu, kesulitan kewangan pembayar cukai bukanlah alasan untuk membenarkan penangguhan atau penangguhan proses penguatkuasaan.
Mahkamah Rayuan menetapkan 17 Jun 2020 untuk mendengar rayuan Petronas di Putrajaya.
Pasukan perundangan negeri telah diketuai Peguam Negeri, Dato Sri JC Fong dan Peguam Negeri, Datuk Talat Mahmood Abdul Rashid serta Timbalan Peguam Negeri, Saferi Ali.
Manakala Petronas diwakili pasukan peguam yang diketuai Datuk Imtiaz Sarwar dan Alvin Chong.