Mengapa mempertikaikan projek jalan raya?

KUCHING:Pengumuman Kerajaan Sarawak membina Jalan Utama Kedua yang merupakan sambungan kepada Jalan Pesisir mendapat reaksi positif di
kalangan penduduk kawasan luar bandar. 

Malah, pembinaannya adalah
bertujuan untuk memastikan kawasan luar bandar mendapat akses jaringan
pengangkutan yang baik dan seterusnya mampu meningkatkan sosiekonomi
rakyat.
Bagaimanapun, kenyataan Presiden Parti Sarawak Bersatu (PSB) Datuk Seri
Wong Soon Koh dan Naib Presiden PSB Dr Johnical Rayong Ngipa yang mahu
pembinaan Jalan Utama Kedua dihentikan seolah-olah menidakkan keperluan dan kehendak masyarakat di luar bandar dalam menerima pembangunan secara menyeluruh.

Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Demak Laut,Dr Hazland Hipni berkata,
sekiranya Jalan Utama Kedua dihentikan ianya bukan sahaja menidakkan
pembangunan, tetapi juga merencatkan jaringan pengangkutan di Sarawak
seperti yang telah dirancang Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang
mengutamakan rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

"Jika kos pembinaan RM6 bilion yang dipersoalkan, apakah tidak melihat pelan jangka masa panjang kepada peningkatkan sosioekonomi dan pendapatan rakyat dengan secara tidak langsung menyumbang kepada ekonomi negeri?

"Apakah rakyat yang tinggal di luar bandar bersetuju dengan cadangan
memberhentikan projek itu,"soalnya.

Katanya,rakyat sudah lama mahu menikmati pembangunan seperti mana yang diperjuangkan GPS dengan slogan ‘rakyat diutamakan’.

"Penyambungan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir sememangnya sangat
diperlukan seperti mana menghubungkan Sebuyau ke Lingga/ Sri Aman dan Betong dan sekaligus memendekkan jarak antara Kuching dan Sibu atau Betong.

"Di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut, misalnya,
pembinaan Jalan Tanjong Embang - Bliong dan di Buntal-Bako merupakan
sebahagian dari Jalan Pesisir yang menghubungkan kawasan di pinggir
bandar. Jalan Tanjong Embang - Beliong dan Buntal - Bako ini akan menghubungkan pusat peranginan dan kawasan pelancongan antara  
Santubong dan Taman Negara Bako yang sememangnya terkenal di seluruh
dunia,"katanya.

Menurutnya lagi, kebanyakan penduduk yang tinggal di luar bandar merupakan nelayan, petani dan penternak, dengan mereka amat memerlukan jaringan pengangkutan yang baik bagi memasarkan hasil dan produk mereka ke bandar. 

"Malah, pembinaan kemudahan pengangkutan Jalan Utama Kedua dan Jalan Pesisir juga membuka peluang pembangunan dan menaikkan nilai hartanah yang semenangnya sangat diperlukan bagi mempertingkatkan sosioekonomi penduduk setempat.

"Justeru, jika Presiden dan Naib Presiden PSB itu tetap dengan pendiriannya mahu memberhentikan Jalan Utama Kedua jelas bahawa PSB secara terang-terangan menolak pembangunan kawasan di luar bandar dan sekaligus menidakkan suara rakyat yang mahukan pembangunan,"katanya.
LihatTutupKomentar
Cancel