Operasi bot penumpang Sarikei - Tg. Manis dihentikan.
SARIKEI: Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Bahagian Sarikei telah mengarahkan bot-bot penumpang yang beroperasi di laluan Tanjung Manis-Sarikei dihentikan serta merta hari ini.
Ia adalah berikutan terdapat kes positif Covid-19 di daerah Tanjung Manis dan notis arahan telah dikeluarkan oleh LSS dengan serta merta bermula 26 Mei.
Perkara tersebut telah disahkan oleh Penolong Pengurus Pelabuhan, En. Hazizan Sapiee hari ini.
Manakala laluan bot penumpang untuk Sarikei - Daro - Sarikei dan juga Sarikei - Paloh -Sarikei berulang alik masih beroperasi seperti biasa.
Penumpang-penumpang yang ingin menaiki atau menuruni bot akan diwajibkan melalui pemeriksaan suhu badan di Terminal 1 Sarikei dan nama serta nombor telefon juga turut dicatat.
Daerah Tanjung Manis kini telah menjadi Zon Kuning kerana terdapat 1 kes di mana salah seorang pelajar i-CATS Kuching telah disahkan positif Covid-19 pada 24 Mei.
Pelajar yang telah dibawa balik dari Kuching pada 12 Mei lepas telah diletakkan dibawah Perintah Pengawasan Di Rumah (Home Quarantine) sepatutnya berakhir pada 25 Mei 2020.
Hasil swab test oleh KKM mendapati pelajar terbabit disahkan positif Covid-19 dan pelajar berkenaan telah dirujuk ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut.
Sementara itu, pihak KKM berusaha untuk mengesan kontak rapat pelajar berkenaan di kawasan Kampung Lot, Fasa 1, Belawai.
Dalam pada masa yang sama, ketua rumah panjang di Sebayang, Tusok dan Semalau turut membuat tindakan drastik dengan serta merta melarang orang luar dari masuk ke kawasan mereka berikutan dari kes tersebut.