SOP taska: Tiada diskriminasi anak-anak petugas barisan hadapan - KP Kesihatan
PUTRAJAYA: Tidak timbul isu pengasingan atau diskriminasi terhadap anak-anak barisan hadapan terutama warga kerja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang diletakkan di taska, sebaliknya ia bertujuan mengurangkan risiko jangkitan COVID-19.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya bukan mengasingkan anak-anak warga KKM namun menyediakan satu tempat khas buat mereka.
“Mungkin cara kita ini dilihat seperti kita asingkan, tetapi sebenarnya memberi perhatian khusus kepada anak-anak petugas kesihatan," katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi beliau malam tadi.
Beliau turut mencadangkan agar satu tempat khas disediakan berhampiran hospital bagi memmudahkan pekerja-pekerja kesihatan menempatkan anak-anak mereka.
Beliau berkata demikian mengulas gesaan Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MAA) Dr N Ganabaskaran kepada Kementerian Wanita dan Keluarga untuk tidak mendiskriminasi anak-anak kakitangan perubatan yang ditempatkan di taska.
Ia susulan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengeluarkan panduan pencegahan penularan COVID-19 Pasca Perintah Kawalan Pergerakan bagi Keselamatan Warga Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA);
Appendix 12, Seksyen 2.1.2 bahawa "Anak-anak frontliners adalah berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan daripada ibu bapa mereka. Tempat yang paling selamat untuk anak-anak ini adalah penjagaan di rumah. Walau bagaimanapun, sekiranya anak-anak petugas frontliners dihantar ke Taska, mereka perlu diasingkan daripada anak-anak yang lain."
DR N Ganabaskaran berkata, anak-anak pekerja kesihatan tidak harus dijadikan ‘mangsa’ polisi diskriminasi dan amalan yang dilaksanakan oleh KKM.
“Sudah tentu kami terkejut kerana KMM bersetuju dengan polisi seumpama ini dan ia telah diedarkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).”
“Polisi ini tidak dapat diterima. Jangan diskriminasikan anak-anak kakitangan perubatan/barisan hadapan. Layan mereka dengan adil,” katanya dalam satu kenyataan.
Dr Ganabaskaran berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu telah dipinda pada 22 Mei dan diedarkan oleh JKM.
Katanya, KKM wajar mendapat nasihat terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan SOP itu.