Mahathir congak turunkan Muhyiddin, cantas Anwar?

KUALA LUMPUR — Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengadakan pertemuan dengan pemimpin utama Pakatan Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah, ditengah desas-desus rancangan pakatan itu untuk mencapai sokongan majoriti di Dewan Rakyat.

Pertemuan yang bermula jam 4 petang di Ibu Pejabat Yayasan Albukhary itu dihadiri Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Presiden Parti Warisan Sabah Datuk Seri Shafie Apdal, Timbalan Presiden Bersatu yang dipertikaikan Datuk Seri Mukhriz Mahathir dan bekas setiausaha agung Datuk Marzuki Yahya.

Namun presiden PKR dan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim baik wakil dari PH tiada kelihatan.

Sumber PKR yang enggan dinamakan, mengesahkan ketidakhadiran Anwar tanpa mendedahkan sebab.

“PKR tidak menghantar sesiapa wakil ke mesyuarat hari ini,” kata sumber itu seperti dipetik dalam Malay Mail hari ini.

Gambar pertemuan itu turut dikongsikan oleh bekas pembantu Dr Mahathir Adam Mukhriz Mohd Muhayeddin di akaun Facebook miliknya dengan komen;

“Hari ni Tun M meeting Pakatan Harapan Plus (Bersatu Tun M dan Warisan) bersama, lepas tu YB Shahruddin Md Salleh datang mengejut jumpa Tun M lepas umum letak jawatan. #KembalikanPilihanMajoriti”

Shahruddin yang merupakan Ahli Parlimen Sri Gading dalam kenyataan hari ini menyatakan beliau telah melakukan tindakan politik yang kurang tepat dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN) - selepas PH pimpinan Dr Mahathir tumbang Februari lalu.

Sebelum ini khabar angin menyatakan PH Plus - puak Parti Pribumi Bersatu Malaysia pimpinan Dr Mahathir Mohamad dan Warisan berjaya mengembalikan kuasa di Dewan Rakyat selepas beberapa bulan kehilangan kuasa berikutan krisis politik pada Februari.

Namun sehingga kini kedua-dua kem - Dr Mahathir dan Anwar masih berbalah tentang siapa calon perdana menteri.

Malah Anwar tidak menghadiri sidang media yang diadakan Dr Mahathir selepas sidang Dewan Rakyat pada 18 Mei dengan alasan ia bukan program PH.
LihatTutupKomentar
Cancel