Rakyat mulai mesra Ekonomi Digital

KUCHING: Ekonomi Digital sebagai dasar dan polisi baharu Sarawak ke arah mencapai negeri maju menjelang 2030 yang diperkenalkan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sejak memegang tampuk pemerintahan tiga tahun lalu mula membuahkan hasil.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut,Dr Hazland Hipni berkata,
pada awalnya, ada pihak khususnya pembangkang yang mempersendakan idea dan konsep Ekonomi Digital ini yang mereka sifatkan sebagai pembaziran, tetapi kini mula menampakkan hasil dan manfaatnya kepada negeri dan masyarakatnya.
 
"Hanya dalam tempoh dua tahun ini, Sarawak telah menerima banyak manfaat khususnya dari segi pelaburan luar negara, kecekapan pentadbiran dan kemudahan infrastruktur digital selain seminar antarabangsa berkaitan digital dunia yang memberi banyak manfaat kepada Sarawak.

"Sehingga kini, hampir semua sektor di negeri ini telah beralih kepada teknologi pintar dengan bertukar daripada ekonomi tradisional kepada ekonomi digital seperti sektor pertanian, pelancongan, bandar pintar, kesihatan, e-dagang, kerajaan digital, pengangkutan dan sosial," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ahli Lembaga Tabung Ekonomi Gagasan Anak Sarawak(TEGAS) itu berkata,
penubuhan SMA dengan peruntukan awal sebanyak RM1 bilion menunjukkan Sarawak serius dalam memastikan agenda dan dasar Ekonomi Digital ini dilaksanakan seperti yang dirancang dan meneroka pelbagai teknologi untuk mempercepat penyambungan digital di negeri ini menjelang tahun 2025. 

"Misalnya, Internet of Things (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), Voice Recognition, Virtual and Augmented Reality (VR/AR), teknologi dron, e-dagang, e-commerce, e-dagang, cetakan 3D, e-wallet dan sebagainya kini merupakan sebahagian daripada kehidupan masyarakat Sarawak dan transformasi ke aras Revoluasi Industri 4.0,"ujarnya.

Katanya,ini memberi peluang kepada semua masyarakat di negeri ini menikmati asas dan pendekatan digital dalam kehidupan mereka seperti usahawan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), belia dan sebagainya. 

"Sewaktu negara menghadapi pandemik COVID-19, teknologi digital mengambil alih peranan selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat dilaksanakan dengan membataskan pergerakan dan sentuhan bagi mengelak penularan COVID-19; misalnya pembayaran dan pesanan digital, sidang video secara maya, pembelajaran atas talian dan sebagainya,"katanya.

Katanya,sudah pasti dengan kehidupan norma baharu ini, masyarakat akan terus mengguna dan mengaplikasi digital sebagai suatu perkara biasa yang perlu diikuti bagi menjamin kelangsungan hidup. 

"Pendekatan atau Dasar Ekonomi Digital ini tidak hanya tertumpu kepada kawasan bandar, bahkan turut meliputi kawasan luar bandar sejajar dengan agenda menjadikan Sarawak sebagai negeri maju 2030 dan hab industri berteknologi tinggi,"jelasnya.
LihatTutupKomentar
Cancel