Lelaki cuba baiki kabel elektrik mati lemas
KOTA KINABALU, 2 Julai (Bernama) -- Seorang lelaki yang terjatuh ke dalam sungai ketika cuba membaiki kabel elektrik yang terputus berhampiran Sungai Kampung Mondikot, Papar, ditemukan lemas petang semalam.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan, mangsa, Awangku Salam, 38, ditemukan pasukan penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Papar dan orang awam ketika operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada 6.20 petang, kira-kira 100 meter dari lokasi terakhir mangsa terjatuh.
"Kita menerima panggilan kecemasan membabitkan mangsa yang dikhuatiri lemas di sungai berkenaan pukul 2.44 petang, semalam. Pasukan bomba diketuai oleh Ketua BBP Papar Roslie Jun bersama enam anggota digerakkan ke tempat kejadian dengan jarak sejauh 25 kilometer dari BBP Papar.
"Menurut saksi, mangsa cuba membaiki kabel yang terputus berhampiran sungai itu namun mangsa terjatuh ke dalam sungai berkenaan," menurut kenyataan itu.
Operasi menyelamat ditamatkan pada 9.20 malam dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan.
-- BERNAMA
Gambar ihsan Bomba Sabah