Pulang untuk berbakti, dibuang dengan keji - anak Sarawak luah kecewa


Oleh Wan Noor Hayati Wan Alias

Sanggup meninggalkan gaji lumayan ketika berkhidmat bersama MMC Corporation Bhd (MMC), kumpulan utiliti dan infrastruktur terkemuka tanah air demi menyalur bakti kepada tanah kelahiran Sarawak.

Bekas pegawai Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Lebuhraya Borneo Utara Sdn Bhd (LBU), Deshon Kaman, 58, meluahkan rasa kecewa, sedih dan marah apabila mendapat tahu kaedah Rakan Pelaksana Projek (PDP) dibatalkan Kementerian Kewangan sekaligus menjejaskan nasib 500 pekerja LBU yang bekerja menerusi kaedah itu.

Katanya, walaupun beliau ditawarkan gaji lebih rendah namun kerana semangat sayangkan Sarawak,  dia terima juga dengan hati terbuka.

"Selama 25 tahun saya bekerja di Semenanjung dan lima tahun di MMC sebelum menerima tawaran di LBU.

"Ketika itu saya hanya fikir untuk berbakti kepada tanah kelahiran saya tanpa terfikir pengakhirannya sebegini rupa.

"Untuk pertama kalinya dalam hidup saya menganggur, isteri juga tidak bekerja dan kami memiliki dua anak yang masih belajar.

"Usaha LBU untuk berunding dengan kerajaan menemui jalan buntu apabila kerajaan bertegas pembatalan PDP tetap diteruskan, kini rakyat tanggung derita," katanya kepada wartawan.

Tambahnya, banyak kesan buruk akibat pembatalan PDP yang tidak diperhalusi kerajaan.

"Antaranya adalah pengurangan staf akan menyebabkan kualiti kerja tidak terjaga, kontraktor akan ambil mudah sewenang-wenangnya kerana badan pemantau sudah tiada.

"Mungkin kos akan bertambah malah tempoh dijangka siap bukan pada 2021 yang dijadualkan tetapi berlanjutan hingga dua ke tiga tahun.

"Jika kerajaan mahu menggantikan syarikat baharu, staf baru terpaksa bermula dari sifar sebelum menyesuaikan diri di 25 tapak projek.

"Saya pelik kenapa kerajaan mendakwa kaedah PDP tidak menjimatkan sedangkan kaedah ini banyak mengurangkan kos masa, tenaga dan menepati kualiti yang diharapkan, saya tidak boleh bayangkan bagaimana projek diteruskan tanpa PDP. 

"Orang politik jangan duduk di atas nak nampak cantik nombor di atas kertas sahaja, tetapi turunlah ke bawah lihat situasi sebenar, ini bukan tohmahan tetapi realiti dan fakta sebenar.

"Dahulu saya memilih Pakatan Harapan untuk melakukan perubahan tetapi bukan perubahan ini saya harapkan," katanya.

Terdahulu, sumber LBU memberitahu Borneo Post bahawa 500 pekerja yang sebahagian besarnya Sarawak diberhentikan kerja secara berperingkat berkuat kuasa hari ini.

Sumber itu mendedahkan, hanya segelintir di bahagian kewangan, teknologi maklumat yang akan meneruskan kerja sehingga Mei nanti.

Antara pekerja yang terbabit dengan pemberhentian ini adalah mereka yang bekerja di sektor pembinaan dan pengkeranian, membabitkan 25 tapak binaan dan ibu pejabat.

Media sebelum ini, penamatan perjanjian PDP bagi projek lebuhraya Pan Borneo Sarawak akan berkuat kuasa pada 20 Februari ini.

Susulan penamatan khidmat PDP, kerajaan akan meneruskan projek lebuh raya terbabit mengikut pendekatan konvensional.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, dilaporkan berkata menerusi penamatan perjanjian PDP ini, kerajaan dapat mengurangkan kos perbelanjaan projek ini daripada RM21.857 bilion kepada RM18.846 bilion, penjimatan RM3.1 juta.


LihatTutupKomentar

1 Komentar

Cancel